Astro First Eksklusif, saluran yang membawakan filem-filem tempatan terbaik secara eksklusif ke kaca televisyen anda sekali lagi bakal membuai perasaan penonton dengan sebuah filem televisyen (FTV) romantik komedi bertemakan cinta dan kekeluargaan berjudul Angin Cinta. Filem sentuhan pengarah yang tidak asing lagi, Ghaz Abu Bakar ini akan mula ditayangkan di Astro First Eksklusif saluran 480 bermula 30 April ini.
Angin Cinta mempertaruhkan gandingan sulung dua pelakon popular tanah air iaitu Zizan Razak dan Ummi Nazeera sebagai teraju utama yang memperlihatkan mereka mengharungi pelbagai liku percintaan yang sedikit sebanyak menguji hubungan mereka demi sebuah masa depan bersama. Filem ini turut dibintangi oleh pelakon berpengalaman, Shahronizam dan Zarina Zainuddin.
Mengulas mengenai buah tangan terbaharu Astro First Eksklusif ini, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Dato’ Khairul Anwar Salleh berkata, “Penting bagi kami untuk sentiasa memastikan setiap filem yang ditayangkan memenuhi kehendak pelanggan Astro First Eksklusif. Justeru itu, melihat akan ruang lingkup kecenderungan minat penonton masa kini yang lebih terarah pada filem romantik komedi yang santai dan menghiburkan, saya percaya Angin Cinta akan mendapat tempat di hati mereka.
Apatah lagi, naskah ini mendapat sentuhan daripada mereka yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing. Antaranya pengarah filem ini sendiri iaitu Ghaz Abu Bakar, di mana seperti yang kita tahu salah satu filem arahannya berjaya memecah rekod kutipan box office Malaysia. Manakala, skrip Angin Cinta pula ditulis oleh pemenang Lakon TV Terbaik di Anugerah Skrin 2014 (ASK2014), Eenaz Mokhtar. Pastinya kualiti naskah ini bukan calang-calang”.
Angin Cinta membawa penonton mengikuti episod percintaan seorang usahawan muda yang kaya, mewah dan merendah diri bernama Khairi Kamarudin Osman atau mesra dipanggil KK (lakonan Zizan Razak) bersama seorang gadis yang urban, ceria dan lemah lembut bernama Irika (lakonan Ummi Nazeera). KK punyai segala-galanya yang orang lain impikan dalam dunia ini. Pangkat, harta, wang ringgit juga segala kemewahan dunia tetapi hanya satu kekurangan bagi dirinya iaitu cinta.
Percintaan yang terjalin indah selama beberapa tahun teruji tatkala KK dan Irika sepakat untuk membawa hubungan mereka ke jinjang pelamin. KK terkejut dengan permintaan Irika untuk melangsungkan perkahwinan mereka di sebuah pulau terpencil. Permintaan khas ini sekaligus membuka rahsia yang selama ini disimpan rapi daripada pengetahuan KK yang mana ibu bapa Irika telah bercerai sejak Irika masih kecil lagi dan bapa kandung Irika, Pak Mustafa (lakonan Shahronizam) menetap di pulau berkenaan selepas dari penceraiannya dengan ibu Irika (lakonan Zarina Zainuddin). KK berdepan dengan masalah untuk menyesuaikan diri dengan bapa Irika yang dilihat sebagai seorang yang sangat tegas serta kehidupan kampung di pulau yang begitu berlawanan dengan gaya hidup mewahnya. Dalam pada itu, Irika dilihat makin tersepit antara masa depannya bersama KK dengan hubungan antara anak dan ayah bersama bapanya.
Menariknya lagi, filem terbitan Adriana Jasmay yang berdurasi selama 90 minit ini bukanlah kisah percintaan semata-mata tetapi turut mengetengahkan nilai kekeluargaan, kasih sayang, ketulusan hati dan sifat saling memahami dan memaafi sesama insan. Selain itu, sinematografi indah Pulau Langkawi dan Pulau Tuba yang dipaparkan memperlihatkan proses rakaman dan penyuntingan setiap babak terutamanya daripada sudut pencahayaan dan komposisi gambar dilakukan dengan teliti bagi menghasilkan pemandangan latar belakang yang mengasyikkan dan mempersonakan
Dato’ Khairul kemudiannya menambah, “Sejujurnya, saya merasakan Angin Cinta merupakan sebuah karya cinta romantik komedi yang indah. Jalan ceritanya yang tersusun rapi berjaya menghasilkan garapan emosi yang cukup sempurna. Pujian harus diberikan kepada Zizan Razak dan Ummi Nazeera selaku tonggak utama kerana keserasian mereka berdua berjaya membuat penonton terus masuk ke dalam plot cerita.
Filem ini juga berbeza dengan filem-filem yang terdiri dari genre yang sama. Jika dilihat akan lambakan filem romantik komedi yang ada di pasaran, rata-ratanya ia berkisar mengenai sebuah perkahwinan kontrak ataupun perkahwinan yang diatur pihak keluarga. Namun begitu, Angin Cinta pula menyentuh isu yang dilihat agak jarang diketengahkan dalam filem bergenre sebegini iaitu mengenai usaha mendapatkan restu ibu bapa dalam sesebuah perkahwinan.
Saya percaya, penonton boleh mengaitkan kisah kehidupan mereka sendiri dengan kisah KK dan Irika terutamanya pada babak yang memperlihatkan hubungan antara ayah dan anak. Dalam kita bergelak tawa dengan gelagat lucu KK dan Irika, sedar atau tidak kita turut disuntik dengan pengajaran hidup yang cukup bermakna. Inilah pendekatan yang kami sentiasa terapkan dalam setiap filem yang ditayangkan di Astro First Eksklusif yang mana dalam kami memenuhi kehendak pasaran, kami juga mahu pelanggan kami mendapat lebih nilai dan bukan hanya menonton sebuah filem semata-mata.”
Filem Angin Cinta akan mula bersiaran secara eksklusif di Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 30 April 2016. Dengan hanya RM15.90 (termasuk GST) untuk sebuah filem, para penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.



0 Ulasan