Menyedari kepentingan menerapkan budaya saling bermaaf-maafan dan
melakukan sesuatu perkara dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan sebarang
balasan, Astro memanfaatkan keterujaan menyambut bulan mulia ini dengan
mengangkat tema ‘Dari Hati’ bagi
menggerakkan ‘Kempen Kosong-Kosong’
untuk sambutan Ramadan dan Syawal tahun ini.
Himpunan lebih 260 pengisian istimewa raya termasuk 131
buah program baru telah diselaraskan merangkumi kandungan eksklusif di ruang
digital, televisyen, radio dan acara lapangan bagi menyemarakkan lagi sambutan
Aidilfitri kali ini.
Bergerak seiring dengan perkembangan trend digital secara
global, variasi himpunan kandungan istimewa raya yang disajikan turut boleh
diakses menerusi platform digital dan perkhidmatan kandungan over-the-top atau ‘OTT’ termasuklah
aplikasi Astro GO dan NJOI Now, portal Astro Gempak dan Rojak Daily, on demand serta banyak lagi bagi memberi
pilihan yang fleksibel kepada para pelanggan.
Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Dato’
Khairul Anwar Salleh berkata, “Kemajuan
teknologi yang pesat masa kini telah merangsang revolusi dunia penyiaran dan
dunia dalam talian yang berpotensi membawa pembaharuan kepada landskap industri
kandungan alaf baharu yang bersifat digital.
Justeru, Astro harus bersedia
menangani cabaran dan lebih proaktif dalam melaksanakan pembaharuan untuk meraih
manfaat kesan daripada trend global yang berubah-ubah agar tidak ketinggalan
sekaligus kekal relevan di mata para pelanggan."
Tampil dengan kelainan baharu untuk sambutan hari lebaran
tahun ini, Astro dengan berbesar hati membawakan sebuah saluran khas RAYA HD (122) yang boleh dinikmati
secara percuma selama sebulan oleh semua pelanggan Astro dan NJOI bermula 24
Jun hingga 24 Julai 2017.
Saluran khas RAYA HD bakal menyajikan seleksi program
raya terbaik yang disusun berselang-seli tanpa henti merangkumi pelbagai genre
berbeza termasuklah program hiburan dan muzikal, barisan drama dan telefilem
terhebat yang menampilkan nama-nama popular tanah air, program berunsur lawak
dan komedi, koleksi filem-filem terlaris tempatan dan antarabangsa dari era
kegemilangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sehinggalah yang terkini selain
filem-filem Bollywood, dan Hollywood.
Meneruskan kesinambungan tradisi saban tahun, Astro turut
mempersembahkan secara eksklusif sebuah
iklan komersial televisyen bersempena dengan hari raya yang memaparkan kisah
benar Adli, seorang bapa yang dikurniakan anak istimewa autisme bernama Luqman.
Iklan ini mengupas tentang kecekalan dan pengorbanan beliau untuk
membesarkan amanah yang diberi. Demi kasih beliau kepada Luqman, Adli
menubuhkan sebuah ‘Cafe Autism’ yang turut memberi sinar baru kepada ibu bapa
yang mempunyai anak autistik untuk mendapatkan latihan vokasional di situ. Uniknya
lagi, iklan komersial ini turut menampilkan Adli dan Luqman sendiri yang melakonkan semula kisah mereka dengan
menggunakan laras bahasa sendiri.
Dato’ Khairul Anwar Salleh turut mengulas, “Sewaktu Kempen Kosong-Kosong Dari Hati mula
dilancarkan pada awal Ramadan lalu, kami telah menerima banyak komen dan
bingkisan peribadi yang dihantar oleh rakyat Malaysia ke pelbagai laman sosial
termasuklah laman sesawang rasmi Astro. Lebih bermakna lagi, pihak Astro
sendiri turut turun padang untuk membuat tinjauan dan menemubual orang ramai,
barisan selebriti, keluarga terdekat dan sahabat handai untuk mendapatkan
pengertian ‘Dari Hati’ daripada perspektif yang berbeza."
Kandungan premium menerusi Astro First tidak ketinggalan membariskan program-program menarik
untuk dilanggan iaitu Memori Pajeri Nenas, Syurga Yang Tak Dirindukan 2 dan
Dangal. Manakala Astro Best pula
turut menawarkan tiga buah program hebat iaitu Beauty & The Beast, The Baby
Boss dan Logan.
Menerusi kempen pada tahun ini,
pelbagai program menarik telahpun disusun menerusi kesemua rangkaian saluran
Astro. Antara koleksi filem terlaris
yang bakal menghiburkan para penonton termasuklah Munafik, Kabali, Secret Life
Of Pets, Langit Cinta, Diwali, Bajirao Mastani
dan banyak lagi.
Bukan itu sahaja, para penonton
juga bakal dihidangkan dengan sajian
program muzikal seperti Gegar Vaganza Kirim Salam Raya, Dia Semanis Honey
Muzikal, Duo Star Lagenda Raya, Tak Balik Raya Tak Rock, Karokgram dan
sebagainya.
Bagi peminat program berbentuk drama dan telefilem Melayu, nantikan
barisan rancangan terhebat yang menampilkan pelakon popular tanah air seperti
Menantu Malam Raya, Lambor Kanan Belakang Dewan, Jodoh Ayam Tergolek, Selamat
Tinggal Aidilfitri dan banyak lagi. Lebih mengujakan, episod akhir drama
adaptasi novel, Hero Seorang Cinderella yang kini merupakan drama Melayu nombor
1 di saluran Astro akan turut disiarkan pada minggu pertama Aidilfitri kelak.
Kami juga akan membawakan
kembali barisan drama popular bersama
hero dan heroin kegemaran ramai dalam
bentuk telefilem istimewa khas sempena Raya seperti Suri Hati Mr Pilot Raya, Famili
Tuan Ihsan, Abang Bomba I Love You Raya, Sayang Papa Saya Tak Raya serta banyak
lagi.
Bagi memberi lebih pilihan
kepada para penonton, barisan program
bercorak gaya hidup atau hiburan untuk tontonan sesi keluarga juga akan
dihidangkan seperti Romantika Raya,
Hero Princess Aaisyah, Abang Hot Beraya, Parodi Raya Dulu Raya Sekarang serta
banyak lagi.
Manakala barisan program lawak dan komedi yang menggelikan hati juga telah
disusun termasuklah MLM Raya 2017, Konsert Komedi Raya,
Sepahtu Reunion Raya, Jozan Raya Sampai Pengsan dan sebagainya.
Lagu ‘Raya Nusantara’ ciptaan komposer terkenal Omar K
ini bakal didendangkan oleh tujuh penyanyi terkenal di rantau ini iaitu Siti
Nordiana, Ismail Izzani, Kashika, Alvin Chong dari Malaysia, Rizky Febian dan
Fatin Shiqdia dari Indonesia serta Sufi Rashid dari Singapura. Manakala video
muzik arahan pengarah Ghaz Abu Bakar juga dijangka bakal menampilkan kelainan
yang tersendiri kepada para pelanggan.
Bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama
Astro untuk tahun ini, pihak Astro Radio menerusi ERA fm, Sinar FM dan THR
Gegar juga tidak ketinggalan mengudarakan program-program menarik khusus
buat pendengar setia mereka sepanjang musim perayaan.

0 Ulasan