Astro Malaysia Holdings
Berhad (‘Astro’)
telah diumumkan sebagai penerima anugerah ‘Pengubah
Digital di Malaysia’ atau ‘Digital
Transformer in Malaysia’ oleh International
Data Corporation (‘IDC’) ASEAN bersempena dengan Anugerah Transformasi Digital (IDC DX Awards) yang julung-julung
kalinya diadakan. Anugerah Transformasi Digital ini bertujuan untuk mengiktiraf
organisasi-organisasi di seluruh Asia / Pasifik yang mempamerkan keberjayaan
dalam usaha-usaha mereka menerapkan transformasi digital dalam perniagaan atau
operasi harian.
Dato’ Rohana
Rozhan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro berkata, “Astro akan
terus mengguna pakai teknologi pembawa perubahan seperti digital, atas talian
dan mudah alih untuk menyokong teras syarikat yang menjadikan pengguna sebagai
keutamaan. Ketika ini, Astro telah berjaya menembusi 72 peratus isi rumah di
Malaysia setelah hampir 20 tahun menawarkan perkhidmatan. Dalam usaha untuk
meningkatkan peratusan penembusan ini, kami menyasarkan untuk menjadi yang
terbaik dalam ruang kediaman dan individu, bukan sahaja di Malaysia, malahan di
peringkat serantau.
Astro telah melancarkan beberapa jenama
pengguna digital seperti aplikasi perhubungan telefon pintar (OTT),
Astro GO dan Tribe; perkhidmatan e-dagang, Go Shop; portal hiburan nombor satu
di Malaysia, Gempak dan peneraju laman berita digital, Awani. Pada hari ini,
Astro telah berjaya meraih hampir 7 juta pengunjung unik merentasi 40 jenama
digital yang beroperasi secara aktif di laman web dan aplikasi mudah alih.
Sejajar dengan penerapan transformasi digital
pada keseluruhan organisasi, kami telah menumpukan fokus dalam pembangunan perisian komputer,
kecerdasan buatan (AI), analisis data, pembuatan video, teknologi pengiklanan dan
e-dagang. Tumpuan ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, mengoptimumkan
kos perkhidmatan dan menambah baik pengalaman pembabitan dalam saluran omni dan
meningkatkan pengalaman peribadi. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk
menyediakan penyelesaian pengiklanan yang lebih efektif dan menyumbang ke arah
capaian pasaran yang lebih luas.
Kami akan mempercepatkan usaha untuk terus
belajar dan mempelajari semula bagi membina kekuatan dan keupayaan untuk kekal
relevan di mata pengguna dalam arus Dunia Baharu ini. Anugerah yang diberikan
oleh IDC ini secara tidak langsung mengiktiraf usaha Astro dalam melaksanakan
transformasi digital ini, dan ia mendorong kami untuk terus menyediakan
perkhidmatan yang memberi keutamaan kepada pelanggan dan penumpuan kepada
prasarana digital, mobile-first dan cloud, di samping pemacuan berasaskan
analisis.”
“Salah satu langkah untuk menentukan kejayaan
sesebuah transformasi digital adalah keupayaan untuk menggambarkan di mana
sesebuah syarikat itu akan berada di masa hadapan dan bagaimana teknologi
digital dapat diguna pakai untuk mencapai wawasan tersebut. Perkara ini
memerlukan mereka di bahagian perniagaan dan teknologi dalam sesebuah syarikat
bergandingan dan berkerjasama, berbekalkan dorongan oleh pucuk pimpinan.
Berdasarkan penilaian yang telah dilakukan oleh IDC kepada ke-semua
projek-projek transformasi digital, Astro berjaya menarik perhatian para juri
dengan skop perniagaan yang bersifat inklusif; merangkumi aspek-aspek dalaman
dan luaran yang menentukan kejayaan sesebuah transformasi, sejajar dengan
matlamat syarikat untuk menjadi peneraju segmen pasaran. Tidak semua syarikat
mampu mengambil langkah ini kerana tahap implementasi yang sukar dan mencabar,”
ujar Pranabesh
Nath,
Pengarah Penyelidikan, IDC Malaysia.
Projek transformasi digital Astro telah
dipilih antara ratusan penyertaan yang dihantar oleh organisasi-organisasi pengguna-akhir
(end-user) dari pelbagai industri di
Asia / Pasifik. Kemenangan ini telah berjaya melayakkan Astro ke pusingan akhir
IDC DX Awards peringkat serantau di mana kesemua pemenang dari negara-negara
yang bertanding akan dinilai untuk menjadi yang terbaik di Asia / Pasifik.

0 Ulasan