Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh negeri itu mulai 2 Ogos ini sehingga 2 Feb tahun depan, sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.
Yang di-Pertuan Agong Isytihar Proklamasi Darurat Sarawak
Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.
Warta Kerajaan Persekutuan itu menyebut ordinan berkenaan akan terhenti berkuat kuasa pada 2 Ogos menurut Proklamasi Darurat yang dikeluarkan pada 11 Januari, di mana PRN Sarawak dikehendaki diadakan dalam 60 hari dari 2 Ogos mengikut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak.
Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang itu turut menyatakan perkara itu akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.



0 Ulasan